Thursday, January 14, 2010

Antara Buta Mata Dan Buta Hati




Sememangnya semua manusia tidak mahu kepada buta mata kerana dengan buta mata menyebabkan seseorang sukar melakukan aktiviti seharian. Begitu juga ia terpaksa menerima hakikat tidak dapat melihat keindahan alam ciptaan Allah swt. Disamping itu, Mereka yang mengalami buta mata terpaksa mendapatkan pertolongan orang lain seperti anak, isteri dan ahli keluarga apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Justeru itu manusia akan sanggup mengorbankan apa sahaja samada wang ringgit dan hartanya bagi memastikan mata mereka sentiasa melihat. Bagi mereka yang mengalami rabun dekat dan rabun jauh, rasa masih beruntung kerana masih lagi boleh melihat seperti membaca buku dengan bantuan cermin mata. Menurut isteri saya Puan Hajjah Syarah, beliau juga rasa bersyukur walaupun sudah lama menggunakan bantuan cermin mata tetapi masih lagi boleh melihat berbanding dengan orang lain yang langsung tidak dapat melihat lagi. Walaupun begitu ia juga terpaksa bertemankan cermin mata apabila melakukan pekerjaan seperti mengajar murid-murid di sekolah.

Begitu juga dengan penyakit Buta Hati, semua manusia tidak mahu dengan penyakit tersebut. Tetapi jarang manusia yang menyedari dirinya sedang mengalami penyakit sedemikian. Yang paling menyedihkan mereka yang bergelar doktor pakar,tokoh akademik, peguam dan ahli pemikir turut sama mengalami penyakit mata hati. Paling menakutkan apabila penyakit hati berlaku kepada mereka yang menjadi ikutan dan mereka yang pemandu kepada jutaan manusia. Jika ditanya antara kedua-dua penyakit ini dari segi bahayanya, tentulah jawapannya buta hati adalah lebih bahaya. Ini kerana mereka yang buta hati bukan sahaja membahayakan dirinya malah ia juga menbahayakan dan menyusahkan orang lain. Sebagai contohnya, seorang yang bergelar pegawai kerajaan apabila ia menghidap penyakit buta hati sudah tentulah perkhidmatannya akan lari daripada tujuan yang sewajarnya. Justeru itu akan lahirlah jenayah rasuah dan ponteng daripada kerja. Bagi mereka, soal dosa dan pahala, syurga dan neraka dan keadilan dan kezaliman tidak lagi menjadi perkiraan, yang penting bagi mereka wang, pangkat dan tujuan mereka tercapai.

Sebab itulah Allah swt, memberi peringatan kepada hambanya agar menjauhkan diri daripada penyakit buta hati kerana mereka yang menghidap penyakit ini tidak dapat lagi membezakan antara kebaikan dan keburukan, baginya perbuatan yang baik dilihat buruk dan sebaliknya perbuatan yang buruk dilihat baik. Bagi mereka seperti ini, Allah swt memberi ancaman dengan membutakan mata mereka di akhirat kelak. Nauzubillahi minzaalik.

Oleh itu,marilah kita berdoa kepada Allah swt agar dijauhkan daripada buta hati ini. Amin!!!!!!

0 ulasan:

Post a Comment